Rabu, 17 April 2013

Malaikat menguji Kadi

Bismillah, dan salam sejahtera

Kisah ini saya ambil dari sebuah buku bertajuk '1001 Cahaya Himpunan Kisah-kisah Malaikat'. Saya cuba ingat dan menulisnya semula di sini.

Ikrimah meriwayatkan di zaman Bani Israil ada tiga orang kadi yang dilantik bagi mengadili dengan seadil-adilnya permasalahan yang berlaku dikalangan masyarakat. Apabila salah seorangnya meninggal dunia segera digantikannya dengan seorang kadi yang baru.


Suatu hari Allah menguji dengan mengutus seorang Malaikat yang menyerupai seorang penunggang kuda. Lalulah si penunggang kuda ini berdekatan dengan seorang pemilik lembu yang sedang memberi minum lembunya. Lembu itu pula sedang menyusui anaknya yang masih kecil dan mengikut sahaja kemana ibunya pergi. Tiba-tiba si penunggang kuda itu memanggil anak lembu tersebut dan anak lembu itu mengikut kudanya.

Tuan punya lembu tersebut segera mengejarnya seraya berkata, "Wahai hamba Allah! Anak lembu itu milik saya, anak kepada lembu saya."

"Bukan, ini milik saya, anak kepada kuda saya ini." Jawab penunggang kuda.

"Bukan, ia anak lembu saya."

"Ia anak kuda saya, buktinya ia ikut kuda saya."

Terjadinya perbalahan di antara penunggang kuda dan tuan punya lembu tersebut.

"Tidak boleh jadi, aku mesti bawa perkara ini kepada kadi yang akan menghakimi antara aku denganmu." Kata pemilik lembu.

"Silakan, aku setuju." kata penunggang kuda.

Penunggang kuda dan pemilik lembu ini segera bertemu kadi bagi mengadu permasalahan mereka.

"Tuan, tuan penunggang kuda ini lalu dekat dengan lembu saya yang pada ketika itu saya sedang memberi minum lembu saya. Terdapat bersama lembu saya itu adalah anak lembu saya yang sedang menyusu. Tiba-tiba dia memanggil anak lembu saya lalu anak lembu saya mengikut kudanya. Akan tetapi setelah saya minta dia enggan kembalikannya kepada saya dan mendakwa anak lembu saya itu pula anak kudanya." Kata pemilik lembu.

Malaikat yang menyerupai manusia itu ada membawa tiga biji mutiara yang belum pernah dilihat oleh manusia. Dia memberikan sebiji secara rahsia kepada si kadi sambil berbisik "Putuskan bahawa anak lembu ini milik saya."

"Bagaimana caranya?" tanya kadi pula berbisik.

"Senang sahaja. Jalankan kudaku dan lembunya. Kemudian arahkan anak lembunya agar ikut dibelakangnya.  Mana-mana yang diikutinya itulah ibu bagi anak lembu tersebut." Bisik si penunggang kuda itu lagi.

Maka kadi mengarahkan kuda dan lembu berjalan ke arah berlainan. Setelah itu dilepaskannya pula anak lembu tersebut. Ternyata anak lembu itu mengikut kuda.

"Kalau begitu ia memang anak kuda." kata kadi.

"Mana boleh. Aku tidak akan menerima. Mari pergi kepada Kadi yang lain." Kata pemilik lembu.

"Aku setuju." Jawab penunggang kuda.

Di tempat kadi yang kedua terjadi seperti pada kadi yang pertama. Si penunggang kuda menguji kadi kedua dengan merasuah sebiji mutiara yang dibawanya tadi. Akhirnya keputusan bahawa anak lembu itu tetap menjadi milik penunggang kuda.

Pemilik lembu tidak dapat menerima keputusan tersebut dan mengajak penunggang kuda untuk pergi pula kepada kadi yang ketiga.

Setelah pemilik lembu menceritakan kisahnya kepada kadi ketiga, si penunggang kuda segera cuba merasuah kadi ketiga dengan sebiji mutiara yang dibawanya. Akan tetapi, kadi ketiga ini tidak mahu dirasuah. Lalu mencari helah untuk membuat keputusan.

"Pada hari ini aku tidak boleh mengadili kalian berdua." Kata Kadi ketiga.

"Mengapa demikian?" Tanya kedua-duanya.

"Sebab aku sekarang sedang haid." Kata Kadi.

"Subhanallah, mana ada orang lelaki haid." Kata penunggang kuda.

"Subhanallah, mana ada kuda beranak lembu." Balas kadi.

Maka kadi memutuskan bahawa anak lembu itu tetap milik si pemilik lembu, kerana tidak ada kuda beranak lembu. Mereka menerima keputusan itu.

"Sesungguhnya aku hanya mencuba kalian sahaja. Allah telah redha kepadamu, dan membenci kedua-dua kadi yang lain." kata penunggang kuda kepada kadi.

Demikianlah kisah pada kali ini. Jadikanlah kisah ini satu iktibar buat kita semua.

Wassalam...

0 klik untuk komen:

Catat Ulasan

HAIRIZAL HAMIDON

HAIRIZAL HAMIDON
Penglipurlara Islam

LABEL

IKLAN

NAK UPAH SAYA?

Dikuasakan oleh Blogger.

ANDA BERSAMA KAMI