Rabu, 17 April 2013

Malaikat menguji Kadi

Bismillah, dan salam sejahtera

Kisah ini saya ambil dari sebuah buku bertajuk '1001 Cahaya Himpunan Kisah-kisah Malaikat'. Saya cuba ingat dan menulisnya semula di sini.

Ikrimah meriwayatkan di zaman Bani Israil ada tiga orang kadi yang dilantik bagi mengadili dengan seadil-adilnya permasalahan yang berlaku dikalangan masyarakat. Apabila salah seorangnya meninggal dunia segera digantikannya dengan seorang kadi yang baru.


Suatu hari Allah menguji dengan mengutus seorang Malaikat yang menyerupai seorang penunggang kuda. Lalulah si penunggang kuda ini berdekatan dengan seorang pemilik lembu yang sedang memberi minum lembunya. Lembu itu pula sedang menyusui anaknya yang masih kecil dan mengikut sahaja kemana ibunya pergi. Tiba-tiba si penunggang kuda itu memanggil anak lembu tersebut dan anak lembu itu mengikut kudanya.

Tuan punya lembu tersebut segera mengejarnya seraya berkata, "Wahai hamba Allah! Anak lembu itu milik saya, anak kepada lembu saya."

"Bukan, ini milik saya, anak kepada kuda saya ini." Jawab penunggang kuda.

"Bukan, ia anak lembu saya."

"Ia anak kuda saya, buktinya ia ikut kuda saya."

Terjadinya perbalahan di antara penunggang kuda dan tuan punya lembu tersebut.

"Tidak boleh jadi, aku mesti bawa perkara ini kepada kadi yang akan menghakimi antara aku denganmu." Kata pemilik lembu.

"Silakan, aku setuju." kata penunggang kuda.

Penunggang kuda dan pemilik lembu ini segera bertemu kadi bagi mengadu permasalahan mereka.

"Tuan, tuan penunggang kuda ini lalu dekat dengan lembu saya yang pada ketika itu saya sedang memberi minum lembu saya. Terdapat bersama lembu saya itu adalah anak lembu saya yang sedang menyusu. Tiba-tiba dia memanggil anak lembu saya lalu anak lembu saya mengikut kudanya. Akan tetapi setelah saya minta dia enggan kembalikannya kepada saya dan mendakwa anak lembu saya itu pula anak kudanya." Kata pemilik lembu.

Malaikat yang menyerupai manusia itu ada membawa tiga biji mutiara yang belum pernah dilihat oleh manusia. Dia memberikan sebiji secara rahsia kepada si kadi sambil berbisik "Putuskan bahawa anak lembu ini milik saya."

"Bagaimana caranya?" tanya kadi pula berbisik.

"Senang sahaja. Jalankan kudaku dan lembunya. Kemudian arahkan anak lembunya agar ikut dibelakangnya.  Mana-mana yang diikutinya itulah ibu bagi anak lembu tersebut." Bisik si penunggang kuda itu lagi.

Maka kadi mengarahkan kuda dan lembu berjalan ke arah berlainan. Setelah itu dilepaskannya pula anak lembu tersebut. Ternyata anak lembu itu mengikut kuda.

"Kalau begitu ia memang anak kuda." kata kadi.

"Mana boleh. Aku tidak akan menerima. Mari pergi kepada Kadi yang lain." Kata pemilik lembu.

"Aku setuju." Jawab penunggang kuda.

Di tempat kadi yang kedua terjadi seperti pada kadi yang pertama. Si penunggang kuda menguji kadi kedua dengan merasuah sebiji mutiara yang dibawanya tadi. Akhirnya keputusan bahawa anak lembu itu tetap menjadi milik penunggang kuda.

Pemilik lembu tidak dapat menerima keputusan tersebut dan mengajak penunggang kuda untuk pergi pula kepada kadi yang ketiga.

Setelah pemilik lembu menceritakan kisahnya kepada kadi ketiga, si penunggang kuda segera cuba merasuah kadi ketiga dengan sebiji mutiara yang dibawanya. Akan tetapi, kadi ketiga ini tidak mahu dirasuah. Lalu mencari helah untuk membuat keputusan.

"Pada hari ini aku tidak boleh mengadili kalian berdua." Kata Kadi ketiga.

"Mengapa demikian?" Tanya kedua-duanya.

"Sebab aku sekarang sedang haid." Kata Kadi.

"Subhanallah, mana ada orang lelaki haid." Kata penunggang kuda.

"Subhanallah, mana ada kuda beranak lembu." Balas kadi.

Maka kadi memutuskan bahawa anak lembu itu tetap milik si pemilik lembu, kerana tidak ada kuda beranak lembu. Mereka menerima keputusan itu.

"Sesungguhnya aku hanya mencuba kalian sahaja. Allah telah redha kepadamu, dan membenci kedua-dua kadi yang lain." kata penunggang kuda kepada kadi.

Demikianlah kisah pada kali ini. Jadikanlah kisah ini satu iktibar buat kita semua.

Wassalam...

Jumaat, 5 April 2013

Seorang Ulama Di Tangkap Jin?

Bismillah, assalamualaikum dan salam sejahtera.


Pada waktu saya berumur sekitar dua puluhan dulu, kira-kira waktu saya muda-muda dulu la, saya suka dengar ceramah agama dari kaset dari penceramah-penceramah hebat dan tersohor satu Malaya. Dulu mana ada sangat VCD jauh sangat kalau nak dapatkan DVD player... Kalau ada waktu tu berapa banyak je yang ada. Mahal pulak tu. Jadi guna ajela kaset. Kalau terbelit pita kaset tu kena keluarkan elok-elok, tarik cermat-cermat. Huihh,, sayang tu..! Lepas tu cari pen atau pensel yang bersegi tu masuk ke lubang puli pita kaset tu pusingkan je sampai kembali asal kemudian baru dapat mainkannya semula. Nostalgia sungguh.


Suatu hari saya beli kaset ceramah Ustaz Ismail Kamus. Pada waktu tu, Ustaz Ismail Kamus memang paling glamer bagi saya, macam Ustaz Azhar Idrus jugalah. Tajuknya saya sudah lupa, tapi berkenaan dengan 'Jin'. Maafkan saya jika silap berkenaan adakah ulama, orang alim, ustaz atau apa, sebab dah lama sangat. Tetapi jalan ceritanya sama. Begini kisahnya...

Suatu hari ada seekor ular masuk ke rumah seorang ulama. Ulama tu nampak ular tersebut dan membunuh ular tersebut. Sebenarnya ular tersebut adalah jelmaan Jin. Perkara pembunuhan ini sampai kepada pengetahuan ahli keluarga jin tersebut dan mahu menuntut bela ke atas kematian saudaranya. Lalu ada dikalangan jin yang memberi cadangan dan menasihatkan para jin agar membawa ulama yang membunuh itu dibawa dan dihadapkan ke 'mahkamah' para jin.

Lalu ditangkap ulama ini dan dibawa ke mahkamah jin untuk dibicarakan. Sidang mahkamah berjalan dengan lancar dan akhirnya hakim dikalangan jin itu bertanya kepada saksi jin tersebut, "Adakah pembunuhan ini berlaku ketika simati berada dalam keadaan sebenar atau menjelma dalam bentuk lain?" 

Kata saksi itu "Si mati telah menjelma menjadi seekor ular ketika ulama ini nampak dan membunuhnya yang arif" 

"Kalau begitu, mahkamah dengan ini memutuskan bahawa ulama ini tidak bersalah kerana simati menjelma dalam bentuk lain dan bukan dalam bentuk asalnya." 

Dan akhirnya ulama ini bebas dan dikembalikan ke dunia manusia.

Begitulah kisahnya. Jika terdapat sebarang pembetulan, samada bagi mereka yang ada kaset, CD ceramah atau sumber Youtube ke, berkenaan kisah ini dari Ustaz Ismail Kamus, sila berikan komen tuan dan puan di sini....

Terima kasih. Wassalam...

Khamis, 4 April 2013

Khalifah atau Raja?

Bismillahirrahmanirrahim...

Berabad-abad lamanya orang yang menjadi Kepala sebuah negara dipanggil sebagai Kaisar atau Raja. Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar pula menjadi Kepala Negara bergelar Khalifah atau Khalifatu Rasulillah yang bermaksud Pengganti Rasulullah SAW. Kemudian Umar bin Khattab pula di bai'at menjadi Khalifah menggantikan Abu Bakar yang wafat pada tahun 13 hijrah.

Mengingatkan kedudukannya sebagai Kepala Negara, Umar khuatir di samakan dengan raja-raja dunia lain yang memerintah. Kerana sebagaimana biasa, raja-raja zaman dahulu suka bertindak dengan sewenang-wenangnya, memerintah, menghukum rakyat, mengaut keuntungan, meyorokkan harta negara, memonopoli hak rakyat untuk kepentingan keluarganya dan lain-lain.

Pada suatu hari Umar bertanya, "Apakah aku ini seorang Raja atau Khalifah?"

Mendengar hal itu seorang sahabat bernama Salman bangun sambil berkata, "Wahai Umar! Jika engkau menerima harta kaum muslimin walaupun hanya satu dirham, kemudian engkau letakkan pada yang bukan haknya, maka jelas engkau seorang Raja, bukan Khalifah."

Saidina Umar sangat mengambil perhatian akan nasihat tersebut dan berhati-hati dalam menjalankan amanahnya.

Sufyan bin Abil Arja' menceritakan bahawa pada suatu hari Umar bin Khattab berkata, "Demi Allah, aku tidak tahu aku ini seorang Khalifah atau seorang Raja. Jika aku seorang Raja maka itu malapetaka besar." 

Berkata seseorang yang mendengarkannya, " Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya di antara keduanya ada perbezaan."

"Apakah itu?" tanya Umar.

"Seorang Khalifah tidak mengambil sesuatu kecuali dengan hak dan tidak meletakkannya pada jalan yang hak. Alhamdulillah, engkau selama ini berkeadaan seperti yang aku sebutkan tadi. Sedangkan seorang Raja, meresahkan rakyat dengan mengambil sesuatu dari ini dan diberikan kepada ini."

Mendengar keterangan itu Umar diam.

Sehingga di sini dahulu, wassalam...
Selasa, 26 Mac 2013

Entri Pertama dari Muslim Albab!


Bismillah, salam pembuka bagi blog yang baru!

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Ini adalah entri pembukaan untuk blog ini.

penglipurlara islam
Saya adalah seorang usahawan SOHO dan biasa menulis di blog saya di hairizal.com. Sebelum saya banyak belajar berkenaan perniagaan, mendapatkan ilmu dari ahli-ahli perniagaan yang lebih senior dan membaca buku-buku perniagaan terlebih dahulu saya banyak membeli buku, kaset, CD dan suka mendengar ceramah-ceramah berkaitan agama. Selain minat dengan agama, saya dibukakan pintu hati untuk banyak belajar  dalam agama mudah-mudahan saya dapat mendidik keluarga, anak dan isteri menuju ke kehidupan yang kekal di syurga insha-Allah. Saya berharap kita semua juga akan mendapat syurga Allah SWT hendaknya.

Blog ini di namakan dengan URLnya muslimalbab.blogspot.com setelah berpeluh-peluh banyak kali mencuba untuk mendapatkan alamat yang sesuai. Kadang-kadang kita berasa kecewa apabila alamat blog yang bagus tidak digunakan sebaiknya oleh orang yang mendapatkannya. Ia kelihatan seperti rumah tidak berpenghuni sahaja... Mentang-mentanglah blogger blog (blogspot) sediakannya dengan percuma...

Tapi akhirnya saya teringat cerita Ahmad Albab filem Allahyarham Tan Sri P.Ramli di mana kisahnya berkaitan suka-duka dan ada ciri-ciri kisah islam. Apabila digabungkan dengan perkataan muslim untuk orang islam maka jadilah MuslimAlbab.


MuslimAlbab juga bermaksud Muslim = Orang Islam. Manakala Albab bermaksud pintu. Dan bila digabungkan ia membawa maksud kisah islam dari gerbang (pintu) cerita yang membawa maksud kepada pengajaran. Dari pintu itu jugalah kita akan memasuki ke dunia lain.

Lakaran bagi header blog ini asalnya saya memilih bagi meletakkan pintu di atas bukit yang tergantung tu. Tapi kurang mantop la bagi saya. Akhirnya saya memasukkan rumah. Bila dimasukkan rumah yang semestinyalah ada pintu ia lebih membawa banyak pengertian. Jadi sebab itulah rumah itu saya pilih dibelakangnya pokok di bawa ke masjid yang tersergam. Ia sebenarnya membawa banyak pengertian di dalam header blog saya tersebut.


Blog muslimalbab adalah blog yang lebih menumpukan berkenaan cerita atau kisah-kisah dari kitab-kitab islam atau karangan umat islam. Tidak saya memandai-mandai membuat cerita. Ia hanya saya baca atau dengar dan yakin dari penerimaan saya kemudian saya kisahkan di sini. Selain itu blog ini juga akan memaparkan info dan ilmu berkaitan islam. Insha-Allah selagi saya mampu untuk menulis di sini.

Buat masa ini, itu sahaja yang dapat saya terangkan. Harap ilmu dari blog ini adalah khabar gembira buat anda serta bermanfaat... Amin..!

ENTRI BLOG ke E-MEL

HAIRIZAL HAMIDON

HAIRIZAL HAMIDON
Penglipurlara Islam
Terdapat ralat dalam alat ini

LABEL

IKLAN

NAK UPAH SAYA?

Google+ Followers

Dikuasakan oleh Blogger.

BLOGGER BLOG INI

Foto saya

Saya suka untuk menjadi guru walaupun saya bukan seorang guru sekolah. Seorang guru adalah mendidik dan mencurahkan ilmu. Begitu juga dengan saya. 

Minat saya dalam ilmu kesenian, keagamaan, motivasi dan bisnes. Walau bagaimanapun saya dapat curahkan ilmu lebih kepada blog dan yang aktif adalah dalam kesenian di www.j-reka.com dan ilmu motivasi bisnes di www.hairizal.com

Saya banyak membaca buku-buku berkaitan yang saya minat, pergi bengkel dan seminar dan belajar dari mentor atau sifu yang hebat dalam bidang-bidang tersebut.

ANDA BERSAMA KAMI